suria

Suami Cabar Kewajaran Perbicaraan Tanpa Kehadiran Bekas Isteri

PUTRAJAYA: Perbicaraan berhubung perebutan hak penjagaan dan pertukaran agama anak antara Dr Muhammad Ridzwan Mogarajah dan S. Shamala menimbulkan persoalan baru hari ini apabila Dr Muhammad Ridzwan mencabar kewajaran perbicaraan kes berkenaan diadakan, tanpa kehadiran bekas isterinya itu serta dua anak mereka yang telah meninggalkan Malaysia. Dr Muhammad Ridzwan, saudara baru yang sebelum ini dikenali sebagai Dr Jeyaganesh C. Mogarajah, mengemukakan bantahan awal tentang perkara itu di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, yang sepatutnya mendengar hujah berkaitan isu perlembagaan tentang sah atau tidaknya pertukaran agama anak-anaknya hari ini.

Ketika menangguhkan keputusan berhubung bantahan awal itu, Zaki berkata perkara itu adalah sesuatu yang rumit dan mahkamah memerlukan dua hingga tiga minggu untuk membaca kes berkenaan sebelum membuat keputusan.

Panel hakim itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Terdahulu, peguam Muralee Menon yang mewakili Dr Muhammad Ridzwan berkata Mahkamah Persekutuan tidak wajar melayan permohonan bekas kerani bank S.Shamala untuk membicarakan isu perlembagaan tanpa kehadiran wanita berkenaan serta dua anak pasangan itu, yang kini dipercayai berada di Australia.

Muralee mempersoalkan hak Shamala untuk didengar dengan alasan wanita itu menghina mahkamah apabila dia tidak mematuhi perintah Mahkamah Tinggi yang memberi hak kepada Dr Muhammad Ridzwan untuk melawat anak mereka.

Katanya selagi wanita itu tidak mematuhi perintah itu, mahkamah tidak sepatutnya mendengar permohonannya dan sebarang perbicaraan tidak wajar diadakan selagi anak guamnya tidak dibenarkan melawat anak-anaknya.

Di Mahkamah Rayuan pada 28 April tahun lepas, Dr Muhammad Ridzwan menyetujui permohonan Shamala untuk merujuk lima isu perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan untuk dibuat keputusan mengenainya.

Antara persoalan yang ditimbulkannya ialah sama ada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, yang memberi hak kepada seorang ibu atau bapa untuk menukar agama anaknya hasil daripada perkahwinan secara sivil tanpa pengetahuan dan persetujuan pasangannya, adalah sejajar dengan Akta Penjagaan Bayi.

Hari ini, peguamnya Datuk C.V.Das mencabar bantahan Dr Muhammad Ridzwan dengan berkata bahawa Shamala tidak boleh dihalang daripada mendapatkan pendengaran oleh mahkamah kerana keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan isu perlembagaan merupakan perkara kepentingan awam, yang bukan saja memberi kesan kepada Shamala, tetapi juga terhadap kes serupa yang belum selesai.

Zaki kemudian mempersoalkan kewajaran perbicaraan itu diadakan dengan berkata ia akan hanya berupa "satu keputusan di atas kertas" sekiranya mahkamah membuat keputusan yang menyebelahinya.

"Jika anda tidak boleh menguatkuasakannya, untuk apakah penghakiman diberi? Sesuatu keputusan itu tidak wajar dibuat dengan sia-sia sahaja. Ia hanya membuang masa," kata beliau.

Das berhujah dengan berkata ia merupakan satu persoalan berkaitan undang-undang yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan tentang sama ada seorang ibu atau bapa boleh menukar agama anaknya yang lahir hasil daripada perkahwinan secara sivil kepada Islam, tanpa pengetahuan dan persetujuan pasangannya.

Shamala dan anak-anaknya adalah rakyat Malaysia dan dia datang ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan kerana mahu membesarkan mereka di Malaysia dan ingin mendapatkan jaminan sekali lagi bahawa upacara keagamaan bagi anak-anaknya akan terpelihara, kata peguam itu.

Beliau berkata adalah jelas Dr Muhammad Ridzwan telah menghina keputusan mahkamah apabila beliau tidak mematuhi perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar nafkah bulanan sebanyak RM250 bagi setiap anaknya.

Dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Dr Muhammad Ridzwan berkelakuan buruk apabila beliau secara senyap-senyap memohon mendapatkan perintah penjagaan bagi anak-anaknya daripada Mahkamah Syariah, kata Das.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 1998 mengikut upacara agama Hindu dan perkahwinan mereka didaftarkan mengikut Akta Reformasi Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Pada 2002, Dr Muhammad Ridzwan menganut Islam dan menukarkan agama dua anaknya kepada Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.

Pada 2004, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan permohonan Shamala bagi menjaga dan mengawal dua anak lelakinya itu, tetapi tidak dibenarkan mengajar agama yang dianutinya kepada mereka atau memberi mereka makan daging babi.

Mahkamah itu juga memberi hak kepada Dr Muhammad Ridzwan untuk melawat anak-anaknya dan memberi hak penjagaan kepada beliau dan Shamala dengan syarat mereka mencapai persetujuan berhubung pelajaran, kesihatan dan penjagaan kesihatan anak-anak mereka.

Pada 13 April 2004, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Shamala bagi mendapatkan perisytiharan untuk membatalkan pertukaran agama dua anaknya itu setelah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah adalah forum yang berhak menentukan status dua anaknya itu mengikut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. BERNAMA

Artikel Lain