suria

OSA Negeri Selangor Boleh Dikaji Dengan Syarat

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Selangor untuk mengkaji semula Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerajaan negeri tetapi mahu ia bersyarat.

"Saya sebagai rakyat Selangor cukup mengalu-alukan supaya kerajaan negeri telus dan jangan ada mana-mana dokumen diklasifikasikan di bawah OSA, termasuk keputusan-keputusan exco.

"Kalau dia boleh dedahkanlah juga macam mana tanah-tanah di bawah Yayasan Selangor diluluskan," kata Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani itu pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sebuah portal berita yang mahu mengkaji semula OSA dengan menggunakan kuasa Menteri Besarnya dengan tujuan memajukan negeri dan memberikan kebebasan media.

"Sebagai Menteri Besar yang adil, jika mahu mengkaji dokumen yang diklasifikasikan oleh kerajaan lama dan seterusnya mendedahkan rahsia pentadbiran kerajaan lama, beliau (MB Selangor) harus melakukan perkara yang sama terhadap kerajaan yang baru juga.

"Jika MB Selangor kata mahu mengkaji semula OSA ...silalah, rakyat sememangnya nak tahu apa keputusan-keputusan anggota exco negeri di dalam pentadbiran misalnya cara perlantikan pentadbiran Universiti Selangor dan untung ruginya berapa juta," katanya.

Mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa golongan yang menolak politik di masjid sebagai bodoh, Noh berkata, beliau sepatutnya menghormati undang-undang agama di setiap negeri, sebagaimana yang dituntut dalam Islam supaya saling menghormati.

"Dalam perlembagaan sudah termaktub bahawa setiap negeri ada kuasa agama masing-masing. Kalau tak suka undang-undang negeri Selangor, jangan datang Selangor. Nik Aziz bukan satu-satunya ulama yang kita ada," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain