suria

Lima Disyaki Pengedar Dadah Diberkas

KUALA TERNGGANU: Lima lelaki, tiga daripadanya terlibat secara langsung mengedar dadah di negeri ini diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Air Jernih di sini Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata serbuan pukul 11 malam di rumah itu, berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah Pil WY yang terbesar di daerah Hulu Terenganu dan Marang yang bergerak aktif sejak akhir tahun 2009.

"Ketika anggota kita tiba terdapat lima lelaki berada di tingkat bawah rumah itu. Hasil pemeriksaan polis menemui satu bungkusan plastik sampah yang disorok di dalam dapur masak.

"Setelah dibuka plastik berkenaan didapati ada Pil WY yang mengandungi dadah Methamphetamine sebanyak 1,140 biji bernilai RM40,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata polis turut menyita harta mereka iaitu wang tunai RM2,000, sebuah kereta jenis Honda, sebuah kereta Proton Satria serta tiga buah motosikal jenis EX5 yang kesemua bernilai RM46,000.

Katanya, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit dengan kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Katanya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, seramai 3,660 orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan dadah ditahan dan pada April sahaja 40 pengedar dan pembekal dadah ditangkap. - BERNAMA

Artikel Lain