suria

Kementerian Kesihatan Nafi M'sia Catat Kes HIV Tertinggi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini menafikan Malaysia mencatat kes HIV paling tinggi berbanding Papua New Guinea dan Kemboja.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), anggaran kes HIV negara bagi kalangan orang dewasa berumur 15 hingga 49 ialah 80,000 kes atau 0.5 peratus.

"Kadar ini adalah rendah jika dibanding dengan Kemboja yang mencatatkan 75,000 kes atau 0.8 peratus bagi golongan yang sama, manakala Papua New Guinea mencatatkan 54,000 atau 1.5 peratus," katanya ketika menjawab soalan Senator Zainun A.Bakar pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Rosnah berkata, beberapa aktiviti telah diadakan di bawah Pelan Strategik Kebangsaan mengenai HIV/Aids bagi tahun 2006 hingga 2010 untuk membantu pesakit dan orang ramai mendapatkan rawatan serta saringan penyakit itu.

"Pada tahun 2009, seramai 1.21 juta orang telah menjalani ujian saringan HIV dan sesi kaunseling kepada ibu hamil, kumpulan berisiko, bakal pengantin dan penderma darah. Selain itu seramai 9,962 pesakit telah menerima rawatan Antiretroviral (ARV)," katanya.

Rosnah berkata, pelaksanaan program Pengurangan Mudarat yang meliputi program Terapi Gantian dengan Metadon (MMT) dan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP) turut mendapat sambutan.

Beliau berkata, sehingga akhir Disember lepas, seramai 10,730 pesakit telah mendapatkan rawatan MMT di 162 pusat MMT seluruh negara, manakala 18,377 pesakit mendapatkan perkhidmatan pertukaran jarum dan alat suntikan di 240 pusat NSEP.

Menjawab soalan Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam sama ada kerajaan bercadang mewujudkan hospital HIV di setiap negeri, Rosnah berkata kementerian belum ada perancangan ke arah itu. - BERNAMA

Artikel Lain