suria

Jangan Pertikai Tugas Polis: Musa

SERDANG: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mempertikaikan tugas polis berikutan insiden seorang remaja Aminulrasyid Amzah yang mati akibat terkena tembakan polis pada Isnin lepas.

Beliau berkata, polis mempunyai tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara dalam membanteras jenayah.

"Apa yang mereka (NGO) nak cakap itu hak mereka dan tunggu sehingga siasatan kita selesai. Saya mahu menjalankan siasatan secara adil untuk mencari keadilan," katanya.

Musa berkata demikian kepada pemberita selepas melawat anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Sarjan Roslan Bachik, 49, di Hospital Serdang yang patah kaki kanan akibat dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya petang kemarin.

Beliau berkata kes-kes yang melibatkan anggota polis sehingga mengalami kecederaan atau kematian dalam menjalankan tugas tidak mendapat perhatian daripada NGO atau masyarakat.

"Sebagai contoh kes yang melibatkan seorang anggota trafik kita kelmarin sehingga patah kaki kanan, ini disebabkan oleh anak orang yang 'baik-baiklah' sehingga jadi macam ni," tegasnya.

Katanya, walaupun polis berjaya melaksanakan tugas dengan baik namun ia tidak pernah dipuji dan dihargai masyarakat.

"Jangan perlekehkan tugas-tugas polis kerana kita mempunyai tanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara.

"NGO yang campur tangan dalam tugas polis tidak prihatin dengan tugas kita melainkan pihak kerajaan yang mengambil berat terhadap anggota-anggota polis yang cedera atau maut dalam menjalankan tugas," katanya.

Musa berkata, kertas siasatan berhubung kes Aminulrasyid, 15, akan diserahkan semula kepada pihak Peguam Negara dalam masa terdekat selepas siasatan kes tersebut lengkap.

Pada Jumaat lepas pihak Peguam Negara menyerahkan semula kertas siasatan tersebut dan mengarahkan polis melakukan siasatan lebih lanjut berhubung kes itu.

Semalam tiga saksi utama, Azamuddin Omar, 15, rakan kepada Allahyarham Aminulrasyid serta kakak dan abang iparnya iaitu Tuty Shaninza Anom Amzah, 36, dan Muzafar Mahali, 36, dipanggil semula untuk memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor. Rakan remaja itu sempat melarikan diri. - BERNAMA

Artikel Lain