suria

Awasi Pelampau Politik Yang Bahayakan Negara: Ezam

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor berkata, pelantikan beliau sebagai senator menjadi landasan terbaik bagi beliau untuk menerangkan kepada rakyat tentang anasir jahat yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara.

"Saya merasakan tanggungjawab saya untuk mempertahankan negara dan asas-asas negara ini daripada serangan-serangan yang dilakukan oleh kelompok-kelompok pengkhianat dan pelampau dalam negara.

"Jadi saya akan ambil tanggungjawab ini sebab saya pernah jadi sebahagian daripada mereka untuk menerangkan kepada rakyat, terutama anak-anak muda bahawa ia sesuatu yang berbahaya kepada negara," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan senator bersama-sama tiga yang lain di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara hari ini.

Tiga lagi ialah Timbalan Presiden MIC dan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G. Palanivel, Pengerusi Eksekutif Rahim and Co Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh Noriah Mahat.

Ezam berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan negara daripada dirosakkan oleh pelampau politik yang sanggup menjual nama Yang di-Pertuan Agong dan negara demi kepentingan peribadi.

Bagi Ezam, pelantikan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu, khususnya, dalam usaha pembaharuan dan transformasi yang dilakukan sejak dilantik Perdana Menteri.

"Apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib menyakinkan saya bahawa beliau adalah seorang tokoh yang serius dan bersungguh-sungguh dalam usaha reform (pembaharuan) dan transformasi negara dan saya mahu bersama-sama beliau," katanya.

Ezam pernah memegang jawatan sebagai setiausaha politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan pengasas dan Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara.

Palanivel turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepadanya dan juga kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu kerana menasihati beliau untuk mengambil jawatan itu.

"Pada awalnya, saya sedikit keliru untuk terima atau tidak, akhirnya presiden pujuk saya untuk terima jawatan ini dan saya terima dan akan cuba untuk berfungsi sebagai ahli Dewan Negara dengan baik," katanya.

Palanivel bagaimanapun enggan mengulas spekulasi bahawa beliau akan ditawarkan jawatan dalam Kabinet sebagai timbalan menteri.

Abdul Rahim dan Noriah juga menghargai kepercayaan Perdana Menteri dan berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebagai senator dengan sebaik mungkin. - BERNAMA

Artikel Lain