suria

Peguam Dipecat Guna Identiti Peguam Lain Jadi Panel Bank

JOHOR BARU: Seorang peguam yang dipecat atas kesalahan disiplin beberapa tahun lalu mencuri identiti peguam daerah lain bagi membolehkannya menawarkan perkhidmatan guaman di sini.

Lelaki berusia 30-an itu malah berjaya meyakinkan sebuah bank melantiknya sebagai salah seorang panel peguam bagi transaksi membabitkan penjualan dan pembelian hartanah.

Tembelang suspek akhirnya pecah baru-baru ini apabila bank berkenaan mendapati resit pejabat hartanah palsu telah dikeluarkan bagi pembelian kediaman bernilai lebih RM150,000 di Mount Austin.

Polis telah menahan suspek dan mengambil keterangannya.

Siasatan awal mendapati, peguam berkenaan mula bekerja dengan seorang peguam yang berpangkalan di Ipoh, di Kuala Lumpur selepas suspek dipecat pada tahun 2002.

Dipercayai suspek kemudiannya meletakkan jawatan dan membuka firma guaman di Permas Jaya dua tahun lalu menggunakan nama firma guaman di Ipoh tersebut serta identiti bekas majikannya itu.

Berikutan dikesan bank baru-baru ini, pembeli hartanah yang ditipu, seorang setiausaha membuat laporan polis mendakwa peguam palsu itu sengaja melewatkan proses transaksi sehingga didenda pihak bank.

Setiausaha tersebut juga mendakwa terpaksa menjelaskan yuran guaman dan caj bank berjumlah kira-kira RM15,000.

Siasatan polis akhirnya mendapati peguam berpangkalan di Ipoh yang ketika itu telah membuat laporan polis bahawa identitinya telah dicuri dan disalah guna suspek di Johor.

Artikel Berikut

36 Kes Baru H1N1

Artikel Lain