suria

NUJ Minta Akta Mesin Cetak Dikaji Semula

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ)menggesa kerajaan supaya mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang disifatkannya sebagai sudah ketinggalan berbanding dengan keadaan semasa.

Presiden NUJ, Norila Mohd Daud berkata kewujudan akta itu sudah tidak sesuai lagi kerana sudah terdapat banyak akta lain seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan yang lebih dari mencukupi untuk mengawal kebebasan bersuara di negara ini.

"Sudah tiba masanya kerajaan secara serius menimbang untuk melihat kembali akta ini. Kerajaan patut mansuhkan saja akta ini, ia tidak berkesan apatah lagi dengan berkembangnya media baru kini, menjadikan kebanjiran maklumat di Internet tidak dapat dibendung.

"Ia hanya memudaratkan industri media perdana dan ekonominya," katanya kepada Bernama semasa menghadiri forum bertajuk "Adakah Perlu Untuk Mengawal Akhbar di Malaysia" yang dianjurkan oleh NUJ sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut esok.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang merasmikan forum tersebut.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 digubal bagi mengawal aktiviti serta kegiatan percetakan dan penerbitan bahan bercetak di negara ini.

Akta tersebut dilihat oleh pihak pemain industri sebagai halangan utama kepada kebebasan akhbar di negara ini kerana memerlukan organisasi media memperbaharui permit mereka setiap tahun dan tertakluk kepada kelulusan Kementerian Dalam Negeri.

Norila berkata, peraturan itu perlu dimansuh kerana ia bukan sahaja akan menjejaskan kelangsungan organisasi dan pekerja industri media tetapi juga memudaratkan industri media cetak secara keseluruhan.

Beliau berkata NUJ bercadang untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk mengetengahkan isu yang tertangguh sejak sekian lama yang dihadapi media arus perdana.

"Lihat begini, sementara kita (kerajaan) mengenakan undang-undang yang ketat kepada media cetak, kita membiarkan media baru terlepas begitu mudah, mengapa ada double standard," katanya.

Artikel Berikut

36 Kes Baru H1N1

Artikel Lain