suria

Najib, Rosmah Ziarah Keluarga Mendiang Robert Lau

SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa kira-kira setengah jam daripada jadual lawatan kerjanya yang padat ke Sibu untuk menziarahi anggota keluarga mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew hari ini.

Beliau ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin.

Ketibaan rombongan Perdana Menteri ke rumah mendiang di Jalan Bruang di sini kira-kira 12.15 tengah hari disambut isteri mendiang, Datin Janet Lau Ung Hie, dua anaknya Alvin Lau Lee Jen, 39, Tammy Lau Lee Teng, 36, serta beberapa saudara mara terdekat. Lau yang juga Anggota Parlimen Sibu selama lima penggal, meninggal dunia akibat kanser hati pada 9 April lepas.

Suasana menjadi pilu seketika apabila Janet yang masih bersedih atas pemergian suaminya, tidak dapat menahan kesedihan dan menitiskan air mata apabila melihat Perdana Menteri serta isteri menziarahi mereka sekeluarga.

Ketika ditemui pemberita, Tammy berkata Perdana Menteri menyifatkan mendiang bapanya seorang pemimpin yang sentiasa komited dan dedikasi dalam melaksanakan tugasnya.

"Perdana Menteri memberitahu bahawa daddy adalah seorang yang berdedikasi. Walaupun dalam keadaan kurang sihat, daddy masih menjalankan tugasnya.

"Perdana Menteri memberitahu bahawa beliau menyedari daddy semakin kurus dan nampak tidak sihat ketika beliau melakukan lawatan kerja ke Sibu pada Tahun Baru Cina yang lepas," katanya.

Tammy berkata Perdana Menteri turut memesan agar beliau menjaga ibunya dengan baik. - BERNAMA

Artikel Berikut

36 Kes Baru H1N1

Artikel Lain