suria

Pengawal Istana Kelantan Parah Ditembak

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan cedera parah di bahagian dada apabila ditembak oleh individu yang tidak dikenali dalam kejadian tengah malam tadi di Kampung Sungai Nyior, Palekbang Tumpat.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, kejadian dilaporkan berlaku pukul 12.25 tengah malam ketika mangsa Ramli Mohd, 50, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Pinang selepas tamat waktu bertugas di Istana Negeri pada tengah malam.

"Sampai di tempat kejadian, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal melepaskan satu das tembakan yang tepat mengenai dada mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Abdul Halim, sebelum itu mangsa yang menunggang motosikal sendirian dikatakan telah diekori dua lelaki sebelum menghampiri mangsa dan melepaskan tembakan.

Beliau berkata, maklumat awal juga menyebut suspek yang tidak puas hati dengan tembakan pertama dikatakan berpatah balik dan melepaskan satu lagi tembakan ke arah mangsa.

"Bagaimanapun hanya satu das tembakan mengenai mangsa dan pelurunya masih berada di bahagian dada mangsa," katanya.

Sehubungan dengan itu Abdul Halim berkata, beliau telah diarahkan oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Mohammad Faris Petra yang meminta polis menyiasat secara terperinci kes itu bagi mengetahui punca kejadian dan pihak yang bertanggungjawab.

Abdul Halim berkata, mangsa yang juga pesara tentera dan bertugas sejak 17 tahun di Istana Diraja Kelantan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, mangsa juga bertugas sebagai pengawal keselamatan bagi keluarga diraja dan membantu tugas-tugas sebagai pengawal peribadi. - BERNAMA

Artikel Lain