suria

Najib Tiba Di Sibu

SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini malam ini untuk lawatan singkat ke bandar Sibu dan kawasan sekitarnya termasuk Kem Infrantri Briged Kesembilan, yang sebelum ini dikenali sebagai Rascom, di Jalan Ulu Oya, esok. Najib, yang diiringi oleh isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, disambut ketibaannya di lapangan terbang Sibu oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalannya Tan Sri Dr George Chan, orang kenamaan negeri dan pemimpin masyarakat.

Beliau akan memulakan jadual padatnya dengan melawat bazar Sungai Merah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Perbandaran No 3 sebelum ke Kelab Kesatuan Melayu (MUC) di Kampung Bandong di sini.

Kemudian beliau menghadiri jamuan tengah hari di Kem Rascom dan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada bekas anggota keselamatan Sarawak.

Konsep Rascom dibubarkan secara rasmi 15 tahun lepas selepas ia berjaya mencapai objektifnya memerangi komunis menerusi gabungan orang awam, polis dan tentera, yang diumumkan oleh bapa Najib dan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Razak Hussein di Kuching pada Mac 1972.'

Perdana Menteri kemudian akan menyampaikan hadiah bagi satu kejohanan tempatan di Kelab Golf Sibu sebelum melawat Kolej Laila Taib di Jalan Airport Lama di sini untuk menyampaikan biasiswa kepada beberapa pelajar.

Beliau juga akan melawat tapak pembinaan bangunan baru SK St Mary di Jalan Awang Ramli Amit di sini.

Pada sebelah petang, beliau akan menghadiri majlis perasmian dan pelantikan jawatankuasa eksekutif pertama Sibu Culture Art Association di sini, yang diketuai oleh Presidennya Datuk Lau Cheng Kiong.

Najib akan mengakhiri lawatan seharinya, lawatan keduanya ke Sibu tahun ini, dengan Sesi Bertemu Rakyat di Dataran Bandaran Sibu, di mana Malam Kebudayaan Satu Malaysia diadakan.

Sementara itu, dalam program berasingan, Rosmah dijangka bertemu pemimpin wanita Barisan Nasional (BN) Sibu di Hotel RH di sini. - BERNAMA

Artikel Lain