suria

Kementerian Pelancongan Sasar 24 Juta Pelancong Asing

KOTA BAHARU: Kementerian Pelancongan mensasarkan 24 juta pelancong asing melawat negara ini tahun ini - peningkatan 0.6 juta berbanding tahun lepas, kata Setiausaha Bahagian Pelesenan kementerian, Kudratullah Fatimy Afandi.

Beliau berkata, jumlah bilangan pelancong itu akan menepati sasaran jika kerajaan-kerajaan negeri mengadakan pendekatan baru dengan mewujudkan program menarik pelancong asing secara bersepadu dan pakej mengikut zon masing-masing.

Ini kerana setiap negeri mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri dari segi daya tarikannya kepada pelancong. Misalnya, kata beliau, Terengganu terkenal dengan keindahan pulau, Pahang dengan tanah tingginya, manakala Kelantan dengan keunikan kebudayaan tradisonal dan makanan. Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan 2010 di sini, hari ini.

Mengenai pelancongan di Kelantan, Kudratullah Fatimy menyarankan kerajaan negeri memajukan produk pelancongan alam semula jadi atau eco tourism kerana 60 peratus dari bumi negeri ini masih mengekalkan alam semula jadi.

"Ini penting untuk menarik pelancong antarabangsa seperti produk pelancongan di Tasik Pergau dan Gunong Setong, di Jeli; Gual Ikan di Kuala Krai; dan Taman Negara Kuala Koh di Gua Musang. - BERNAMA

Artikel Lain