suria

GPMS Sedia Jadi Peguam Pemerhati Keluarga Aminulrasyid

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini melawat Norsiah Mohammad, ibu kepada remaja yang ditembak oleh polis Isnin lalu. (Dari kiri) Ketua Penerangan GPMS, Irmohizam Ibrahim dan Timbalan Presiden GPMS, Rosli Amir. - Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

SHAH ALAM: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini menawarkan untuk menjadi peguam pemerhati kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis minggu lalu.

Timbalan Presiden GPMS, Rosdi Amar berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadi peguam pemerhati keluarga itu sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.

"Saya sendiri seorang peguam jadi kita ingin pastikan kelancaran prosiding itu nanti dan segala maklumat yang didedahkan kepada umum adalah benar.

"Kita ingin elakkan segala maklumat yang didedahkan kepada umum kelak akan di manipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada media selepas melawat keluarga mangsa di sini hari ini.

Katanya, beliau menyeru semua pihak termasuk media dan blogger supaya menghentikan segala spekulasi negatif berkaitan dengan kes itu.

Menurutnya, ia akan memberi kesan kepada keluarga mangsa yang masih bersedih dan persepsi serta tanggapan negatif masyarakat akan memburukkan lagi keadaan.

Beliau juga berharap kejadian ini tidak dipolitikkan dan paling penting kes ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Ini bukan masanya untuk mempolitikkan satu isu dan jangan kita sebarkan perkara atau cerita yang tidak benar, saya percaya siasatan akan dijalankan dengan telus dengan adanya panel khas yang dipimpin oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam satu kenyataan semalam berkata, polis mengalu-alukan inkues dijalankan mengenai kes itu bagi mengetahui kejadian sebenar dan punca insiden tersebut.

Katanya, pihaknya telah menghantar kertas siasatan kes remaja malang itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Rosdi berkata, pertemuan GPMS bersama ibu mangsa hari ini adalah untuk mengetahui maklumat sebenar mengenai kejadian itu supaya tidak timbul perkara-perkara yang tidak tepat.

Pada kejadian pukul 2 pagi Isnin lalu, Aminulrasyid, 15, mati ditembak semasa dia dan seorang rakannya cuba melarikan diri selepas dikejar anggota polis dengan kereta peronda di kawasan Seksyen 11, Shah Alam.

Artikel Lain