suria

Seorang Wanita Maut Dipercayai Ditikam Perompak

PULAU PINANG: Seorang wanita maut dipercayai selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam oleh perompak yang memecah masuk ke dalam rumahnya di Jalan Service, dekat Jalan Burmah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mayat M.Visalakshi, 67, ditemui oleh suami wanita berkenaan di ruang tamu rumahnya itu pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika Visalakshi tinggal bersendirian di dalam rumah itu kerana suaminya yang merupakan bekas penolong pengurus bank dikatakan keluar untuk bertemu rakan-rakannya.

Katanya, suami Visalakshi menemui mayat itu dalam keadaan diselubungi sari, terbaring di ruang tamu dalam timbunan pakaian.

"Sebaik sahaja menemui mayat itu, suami Visalakshi terus berlari keluar meminta pertolongan daripada jiran dan rakan-rakan untuk menghubungi polis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Gan berkata, siasatan awal mendapati selain kesan tikaman di bahagian dada kanan, kesan bengkak juga dikesan pada lengan kanan Visalakshi, dan polis percaya wanita itu diserang oleh lebih daripada seorang suspek.

"Sebilah pisau dengan kesan darah turut ditemui di dapur rumah itu," katanya dan menambah kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati antara yang dilarikan adalah beberapa barang kemas yang dipakai oleh Visalakshi serta patung berhala yang digunakan untuk upacara keagamaan, dan menurutnya nilai barang-barang yang dilarikan itu masih dalam siasatan.

Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat yang dapat membantu siasatan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Mohd Shukri Mohd Ali dengan menelefon 04-2181822 bagi membantu polis. - BERNAMA

Artikel Lain