suria

Polis Harap Saksi Pelanggaran Kereta Aminulrasyid Tampil Beri Keterangan

KLANG: Polis masih menunggu penampilan saksi yang terlibat dalam pelanggaran dengan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak ketika dilaporkan cuba melarikan diri daripada polis di Shah Alam pada Isnin lepas, untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata sehingga petang ini polis belum menemui saksi-saksi berkenaan yang boleh membantu polis dalam siasatan kejadian itu.

Beliau meminta kerjasama mereka termasuk yang melihat kejadian itu agar tampil atau menghubungi mana-mana balai polis untuk memberikan maklumat.

"Kita berharap saksi-saksi ini dapat segera tampil agar keterangan daripada mereka dapat diambil," katanya.

Dalam kejadian itu, Aminulrasyid, 15, mati ditembak semasa dia dan seorang rakannya cuba melarikan diri daripada dikejar oleh anggota polis dalam kereta peronda di kawasan Seksyen 11 pada 2 pagi Isnin lepas.

Khalid berkata polis berharap semua pihak terutama ahli keluarga Aminulrasyid bersabar dan memberi kepercayaan kepada polis untuk menyelesaikan siasatan kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain