suria

Polis Hanya Boleh Tembak Untuk Pertahan Diri - KPN

KUALA LUMPUR: Polis hanya boleh melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini.

Mengulas kematian Aminulrasyid Amzah, 15, yang dilaporkan ditembak polis di Shah Alam Isnin lepas, Musa berkata beliau tidak hendak membuat spekulasi tetapi tembakan itu berlaku pada 2 pagi dan kereta yang dinaiki remaja itu dipandu dengan cara yang mencurigakan.

"Dalam keadaan gelap itu, siapapun tak akan dapat pastikan sama ada pemandunya adalah seorang remaja atau orang dewasa.

"Setakat itu saja yang boleh saya komen tentang isu ini kerana ia sedang disiasat. Oleh itu, jangan buat sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara menderma darah oleh anggota polis di Pusat Darah Negara bersempena sambutan Hari Polis di sini hari ini.

Musa berkata sesebuah kenderaan itu sama bahayanya dengan pistol, pisau atau tukul.

"Kenderaan boleh digunakan sebagai senjata...senjata bukan bermakna pistol, pisau atau parang saja. Kalau seseorang itu enggan berhenti dan cuba merempuh pegawai yang cuba menahannya, ia (kenderaan) boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh membahayakan nyawa pegawai penguatkuasa," kata beliau.

Musa meminta orang ramai agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan tentang kejadian itu.

Beliau mengulangi jaminannya bahawa tiada apa yang akan disembunyikan berhubung kes itu.

"Saya tak berat sebelah, jangan buat spekualsi. Seperti yang saya kata sebelum ini, kami tak akan menyembunyikan apa-apa dan kami akan berlaku adil dalam siasatan kami. Oleh itu, tunggulah hasilnya nanti.

"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-udnang atau tidak.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya.

Ditanya tentang keadaan yang membolehkan polis menggunakan senjata api, beliau berkata: "Orang saya tahu bahawa mereka hanya boleh menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri, itu sudah menjadi peraturan dalam tugas kami".

Musa juga menasihati orang ramai supaya berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh polis atau pegawai penguatkuasa dan jangan cuba melarikan diri kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan rasa curiga.

Sebelum ditembak, Aminulrasyid Amzah didakwa mengundur kereta dan cuba merempuh pegawai polis untuk cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya berhampiran rumahnya. - BERNAMA

Artikel Lain