suria

Penubuhan Panel Khas Pantau Siasatan Polis

PUTRAJAYA: Sebuah panel khas yang ditubuhkan, berikutan seorang remaja yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di Shah Alam Isnin lepas, tidak akan menjalankan siasatan sendiri sebaliknya berfungsi memantau siasatan polis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, yang mengetuai panel itu berkata, panel khas itu akan memastikan siasatan yang dijalankan polis dilakukan secara adil dan telus.

"Panel ini akan menilai dan melihat supaya tiada penyelewengan (dalam siasatan yang dijalankan) dan tindakan yang diambil mestilah sebagaimana yang kita hendak pastikan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid Amzah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, di Shah Alam, yang memandu kereta Proton Iswara mati ditembak setelah dikatakan cuba melarikan diri dari sekatan polis manakala rakannya pula berjaya melarikan diri.

Berikutan kejadian itu, satu panel khas telah ditubuhkan bagi memantau siasatan tersebut supaya penyiasatan dijalankan secara adil dan telus.

Abu Seman berkata, panel itu berperanan sebagai badan bebas serta tidak memberikan sebarang pandangan atau cadangan kepada polis dan segala keputusan akan dibuat Kementerian Dalam Negeri sebaik laporan siasatan kes itu selesai.

"Masyarakat akan tahu, kalau tidak adil dan telus, imej KDN yang akan teruk terjejas. Sebab itu panel ini penting. Sebagai panel bebas, apa jua maklumat yang dapat, kita akan salurkan kepada masyarakat," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menimbulkan andaian ketika siasatan kes itu dijalankan kerana sebelum ini, ada spekulasi kononnya kes itu tidak disiasat dengan adil dan telus kerana ia melibatkan polis.

"Kita tidak mahu ada pihak-pihak tertentu membuat spekulasi...benda yang tiada, diada-adakan. Kita juga sudah meminta polis mempercepatkan siasatan supaya perkara ini boleh dirujuk kepada Peguam Negara untuk menentukan (tindakan yang perlu diambil)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lapan individu di kalangan masyarakat awam akan dilantik menganggotai panel khas tersebut, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan), Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz sebagai timbalan pengerusi panel itu.

Beliau berkata, anggota panel itu akan terdiri daripada individu bebas, yang bukan anggota politik dan tiada kaitan dengan polis.

"Setakat ini kita belum mendapat persetujuan daripada mereka. Kita jangkakan panel khas itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya minggu depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain