suria

Pembantu Jurujual Dipenjara Sehari, Denda RM2,300 Curi Seluar Jeans

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri sehelai seluar jeans seorang pembantu jurujual telefon bimbit hari ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmi Bachok, 32, selepas beliau mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Azmi dituduh mencuri sehelai seluar jeans jenama Bread Butter berharga RM1,299 di Tangs Pavillion, Bukit Bintang di sini pada 9.55 malam, 27 Ogos tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Terdahulu, peguam N. Satgurunathan memohon agar hukuman ke atas Azmi dikurangkan memandangkan tertuduh telah bertunang dan akan mendirikan rumah tangga dua bulan lagi selain perlu menyara ibunya yang tinggal di Johor Baru dengan hanya berpendapatan RM1,200 sebulan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga seorang penyelia pembantu jurujual telah melihat Azmi dalam keadaan mencurigakan dan kemudiannya tertuduh telah memasukkan seluar di dalam beg dan Azmi terus melarikan diri walaupun dikejar oleh pengawal keselamatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan R.Rukumar. - BERNAMA

Artikel Lain