suria

Lebih RM17 Juta Barang Cetak Rompak Dirampas Tahun Ini

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merampas barangan cetak rompak bernilai RM17.3 juta sejak Januari tahun ini.

Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Mohd Roslan Mahayudin berkata jumlah itu termasuk perisian dan perkakasan komputer yang dirampas semasa operasi di seluruh negara.

"Dianggarkan nilai keseluruhan perisian cetak rompak dan perkakasan komputer yang dirampas ialah RM1.3 juta meliputi 124 buah komputer bernilai RM350,000 dan 297 salinan perisian disyaki cetak rompak dengan nilai pasaran RM984,945," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Roslan berkata pihaknya mendapati penggunaan perisian cetak rompak berleluasa dalam pelbagai industri termasuk pengangkutan, senibina, pengurusan acara dan pameran, kafe siber dan pembelajaran pertahanan dan penerbangan secara talian.

"Melihat pada keadaan sekarang, adalah sukar kita mengatasi angka pada tahun lepas yang menyaksikan 42 tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan 323 komputer bernilai RM935,000 dan 2,590 salinan perisian disyaki cetak rompak bernilai RM11.4 juta dirampas," katanya.

Mohd Roslan juga mengingatkan pengarah dan pengurus kanan syarikat agar memastikan semua aspek perniagaan mereka termasuk penggunaan perisian adalah mengikut undang-undang.

Mengikut Akta Hakcipta 1987, syarikat dan pengarah syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak yang dimiliki atau hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Masalah cetak rompak ini bukan sahaja mengurangkan keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur di negara ini, malah ianya juga tidak akan menggalakkan kreativiti anak tempatan kerana mereka takut apa yang dicipta mereka dicetak rompak dan orang lain yang mendapat hasilnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain