suria

Kes Hak Penjagaan Shamala-Muhammad Ridzwan Didengar Isnin

PUTRAJAYA: Kes hak penjagaan anak Shamala-Muhamad Ridzwan yang menjadi perhatian umum berhubung soal-soal perundangan bagi ibu dan bapa yang bercerai dan seorang daripada mereka bertukar agama, akan didengar oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada Isnin.

Mahkamah Persekutuan dipertanggungjawabkan untuk menentukan kesahihan penukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan bapa atau ibu yang tidak menukar agama.

Mahkamah tertinggi itu akan membuat penghakiman terhadap lima persoalan undang-undang termasuk percanggahan undang-undang Islam dan sivil berkaitan penukaran agama dan hal ehwal keluarga serta Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama.

S. Shamala, 37, berkahwin dengan Jeyaganesh C. Mogarajah, 41, mengikut undang-undang perkahwinan sivil pada 1998 tetapi empat tahun kemudian, Jeyaganesh memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Ridzwan Mogarajah.

Muhammad Ridzwan turut menukar agama kedua-dua anak lelaki mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran, yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun, kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.

Satu daripada persoalan adalah sama ada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama anaknya daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama, tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961.

Kes hak penjagaan anak Shamala-Muhamad Ridzwan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan persoalan perlembagaan. Malaysia mempunyai dua sistem perundangan iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah, yang membicarakan serta menjatuhkan hukuman terhadap orang Islam bagi kesalahan sivil dan jenayah agama.

Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk menukar agama anak-anak hasil perkahwinan sivil mereka tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama.

Peruntukan itu bagaimanapun tidak konsisten dengan pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memberikan hak sama rata kepada ibu atau bapa dalam membesarkan dan penjagaan anak-anak mereka.

Shamala, yang memperoleh hak penjagaan terhadap dua anak lelakinya itu, diperintah untuk tidak mengajar agama kepercayaannya kepada kedua-dua anaknya itu atau memberi mereka makan babi. - BERNAMA

Artikel Lain