suria

Hanya Seorang Polis Lepas Tembakan - Khalid

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan hanya seorang anggota polis melepaskan tembakan dalam insiden di Shah Alam yang meragut nyawa remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut beliau, siasatan masih giat dilaksanakan dan sebaik selesai, pihaknya dapat mengumpul maklumat lengkap berhubung kejadian sebenar yang berlaku awal Isnin lalu itu.

"Kami berharap siasatan dapat diselesaikan menjelang akhir minggu ini. Siasatan harus dilakukan dengan teliti dan menyeluruh ," katanya selepas menghadiri pelancaran lambang terbaru Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Khalid berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya berhubung tindakan lanjut sebaik sahaja siasatan siap dilakukan.

Katanya, polis turut merakam kenyataan rakan mangsa yang melarikan diri sewaktu dikepung dua kereta peronda polis, bagi mengetahui apa yang menjurus kepada kejadian tembakan tersebut.

Ketika disoal pemberita, beliau berikrar bahawa pihaknya tidak akan menyembunyikan fakta berhubung siasatan berkenaan.

Aminulrasyid meninggal dunia akibat terkena tembakan polis setelah didakwa cuba mengundurkan kenderaannya ke arah anggota polis yang menahan kenderaan dipandu mangsa di Seksyen 11, Shah Alam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi selepas Aminulrasyid memecut dan melanggar beberapa lampu merah sebelum ditahan kereta peronda polis.

Rakan mangsa melarikan diri sementara mangsa dikatakan cuba mengundurkan kenderaannya ke arah beberapa anggota polis dalam usaha melarikan diri. Pun begitu, salah seorang daripadanya melepaskan empat tembakan sehingga mengorbankan remaja tersebut.

Artikel Lain