suria

Raja Muda Perlis Mahu Padang Besar Jadi Pintu Masuk Utama

HAADYAI: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu Padang Besar menjadi pintu masuk jalan darat utama bagi rakyat Thailand.

Baginda turut berharap Padang Besar yang semakin membangun menjadi pilihan nombor satu bagi apa juga kegiatan yang boleh memberi keuntungan kepada Malaysia dan Thailand.

Projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar yang dijadual siap pada 2013 akan melonjakkan kegiatan perdagangan dan pelancongan di kawasan sempadan itu, titah baginda pada majlis makan malam sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Allianze College of Medical Sciences (ACMS) dan Prince of Songkhla University (PSU) di sini malam tadi.

Selain itu, antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Padang Besar termasuk projek depot pelepasan darat bertujuan melicinkan kegiatan pergerakan kontena di sempadan dan pembinaan bazar perniagaan.

Titah Raja Muda Perlis pembangunan fasa satu Taman Industri Halal yang dijangka siap pada November tahun ini bakal memacu pembangunan ekonomi Padang Besar.

Selain itu, baginda bertitah rancang pembangunan bandar baru Padang Besar bakal dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di Padang Besar akan dinaik taraf bagi mengurangkan kesesakan. - BERNAMA

Artikel Lain