suria

Program Kembali Bertugas Perkeso Catat 76 Peratus Kejayaan

KUALA LUMPUR: Seramai 744 orang pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang hilang upaya, dapat kembali bekerja selepas menyertai program kembali bertugas yang dilaksanakan Perkeso sejak tiga tahun lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, program khusus bagi membantu pencarum yang hilang upaya itu mencatatkan kejayaan 76.3 peratus daripada 975 kes yang berdaftar dengan Perkeso.

Beliau berkata, menerusi program itu, pencarum yang hilang upaya diberi bimbingan pemulihan dari segi fizikal, mental dan sosio psikologi.

"Program itu dilancarkan pada awal tahun 2007 dan diadakan di hospital-hospital kerajaan, klinik-klinik swasta dan pusat pemulihan, sementara menunggu sebuah pusat pemulihan Perkeso yang khusus disiapkan pembinaannya di Air Keroh, Melaka pada pertengahan tahun 2012," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan cek bernilai RM114,911.66 kepada Muhammad Asraf Rosli, 22, yang lumpuh dari dada ke bawah akibat satu kemalangan jalanraya semasa pulang dari tempat bekerja pada tahun 2005.

Pusat pemulihan Perkeso bernilai RM200 juta itu dirancang untuk dibina di atas satu tapak seluas 21 hektar.

Maznah seterusnya mengingatkan para majikan agar membayar caruman terhadap pekerja masing-masing bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

"Perkeso kini menjalankan 'Ops Kesan Perkeso' untuk mengenal pasti mana-mana majikan yang tidak berdaftar di bawahnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain