suria

Juruelektrik Digantung Sampai Mati Bunuh Anak Teman Wanita

PULAU PINANG: Seorang juruelektrik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki teman wanitanya yang berumur tiga tahun, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Zaki Mohd Yassin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Chin Lee, 37, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

"Keterangan kakak mangsa yang pernah melihat tertuduh memijak perut adiknya beberapa kali adalah konsisten dengan laporan pakar patalogi forensik yang membuat bedah siasat terhadap mangsa.

"Pakar itu turut mengesahkan mangsa cedera diperut akibat kesan pijakan yang kuat," katanya.

Tan, dari Lebuh Macallum, di sini, didakwa membunuh Khor Wei Wong, 3, di antara pukul 6 petang 25 November 2004 sehingga pukul 12 tengah malam keesokannya di sebuah rumah di Blok 8B-07-16, Gat Lebuh Macallum, di sini.

Tan diwakili peguam Harpal Singh manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar.

Mengikut laporan akhbar, mangsa yang tinggal bersama ibu dan teman lelaki ibunya disahkan meninggal dunia pada pukul 11 pagi, 26 November 2004, di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami cirit-birit. - BERNAMA

Artikel Lain