suria

Tuntut Ganti Rugi DBKL Jika Cedera Jatuh Lubang

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang cedera akibat terjatuh ke dalam lubang tidak bertutup di kawasan pejalan kaki di sekitar ibu negara boleh menuntut ganti rugi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan berkata, tuntutan itu boleh dibuat dalam tempoh enam tahun daripada tarikh kejadian dan hanya membabitkan kawasan di bawah selenggaraan DBKL.

"Segala tuntutan ini perlu dikemukakan kepada Bendahari Jabatan Kewangan atau Pengarah Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang DBKL," katanya ketika menjawab soalan Senator Rizuan Abd Hamid di sini.

Rizuan dalam soalannya ingin tahu sama ada orang ramai boleh menuntut ganti rugi daripada DBKL sekiranya mereka ditimpa insiden sedemikian.

Bagaimanapun Saravanan berkata, orang ramai tidak boleh menuntut ganti rugi bagi kerosakan harta benda akibat bencana alam seperti kenderaan dan rumah ditimpa pokok tumbang semasa ribut.

Menjawab soalan tambahan Senator S.J. Usha Nandhini, beliau berkata, sejak tahun 2000 hingga sekarang DBKL menerima 98 aduan kes kemalangan yang membabitkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM1.7 juta.

Daripada jumlah itu, 36 kes telah diselesaikan dengan ganti rugi berjumlah RM428,184, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain