suria

Terengganu Minta Kementerian Pertanian Selesai Isu Harga Padi

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu hari ini meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mencari jalan membantu pesawah yang kini berdepan masalah penurunan harga padi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, harga padi kini hanya RM890 bagi satu tan metrik berbanding tahun lepas yang boleh mencapai RM1,200.

"Saya menerima memorandum daripada penanam-penanam padi di Terengganu hari ini yang melahirkan rasa tidak puas hati mereka mengenai harga padi yang begitu rendah.

"Jadi saya merayulah supaya pihak kawal selia bahagian harga Kementerian Pertanian segera mengatasi masalah itu termasuk keluarkan lesen kepada swasta kerana mereka sanggup beli padi pada harga RM1,200 tan metrik," katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas perkara berlainan, Ahmad berkata, kerajaan negeri telah menyerahkan 1,500 ekor kambing boer ke Pusat Penternakan Kambing Boer di Telaga Papan dua hari lepas.

Langkah itu akan membantu petani miskin untuk mengusahakan pusat tersebut yang diseliakan menerusi program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain