suria

SPRM Akan Rayu Keputusan Dua Bekas Exco Perak Bebas Rasuah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merayu keputusan Mahkamah Seksyen Ipoh yang telah membebaskan dua bekas anggota Exco kerajaan negeri Perak bersama tiga individu lain daripada tuduhan rasuah Jumaat lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, bahagian perundangan dan pendakwaan akan menfail notis itu tidak lama lagi.

"Prosesnya belum selesai lagi sehingga mahkamah membuat keputusan di peringkat tertinggi barulah perkara itu diputuskan," katanya.

Abu Kassim berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan laporan tahunan SPRM kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dua bekas anggota Exco terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu, 59, dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, 54.

Kedua-dua mereka telah meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil bebas.

Tiga lagi tertuduh yang dibebaskan ialah bekas ADUN Bota, Kapten (B) Usaili Alias, 58, bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang juga peniaga, Zul Hassan, 48, dan kontraktor, Fairul Azrim Ismail, 32.

Kesemua mereka menghadapi 16 tuduhan rasuah berkaitan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh dalam keputusannya berkata, keputusan dibuat kerana pihak pendakwa telah gagal membuktikan kes prima facie.

Sementara itu, Abu Kassim berkata, SPRM telah menerima beberapa laporan mengenai dakwaan rasuah di pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan akan menyiasat.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut tentang butiran laporan yang diterima itu.

Terdahulu di majlis itu, Abu Kassim berkata, laporan tahunan SPRM setebal 105 muka surat itu antara lain mengandungi kandungan perjalanan segala aktiviti SPRM sepanjang tahun lepas.

Turut diserahkan 12 muka surat ulasan oleh Lembaga Penasihat SPRM mengenai laporan tahunan itu.

Mohd Radzi berkata, jawatankuasanya perlu meneliti kandungan tersebut bagi menyediakan laporan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membentangkannya di Parlimen. - BERNAMA

Artikel Lain