suria

Sarimah Tarik Balik Saman RM1 Juta Terhadap Malaysian Tatler

KUALA LUMPUR: Aktres veteran Datuk Sarimah Ahmad menarik balik saman malu dan tuntutan RM1 juta daripada penerbit dan pencetak majalah Malaysian Tatler yang sepatutnya dibicarakan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Balia Yusof Wahi membenarkan permohonan Sarimah, 68, di dalam kamarnya dan tidak menetapkan sebarang kos untuk kedua-dua pihak.

Pada 17 Mei 2005, Sarimah menyaman penerbit Malaysian Tatler Magazine, Illustrated Magazine Publishing Sdn Bhd, dan Percetakan Osacar Sdn Bhd berhubung artikel bertajuk "Fast Among Equals" yang diterbitkan dalam majalah keluaran Ogos 2001 itu.

Beliau yang popular dengan filem Madu Tiga dan Ali Baba Bujang Lapok ini, mendakwa artikel itu sebagai memfitnah dan antara lain bermaksud beliau sebelum ini tidak menjalani kehidupan yang jujur dan mematuhi ajaran agama.

Sarimah menuntut RM500,000 ganti rugi am, RM250,000 ganti rugi teruk dan RM250,000 ganti rugi teladan. - BERNAMA

Artikel Lain