suria

Pengurus Besar Cedera Ditembak Dalam Cubaan Merompak

JOHOR BARU: Seorang pengurus besar syarikat membuat tangki air di Jalan Seelong Jaya 15, Senai cedera di bahu kirinya apabila ditembak dalam satu cubaan merompak hari ini.

Kejadian berlaku 7.55 pagi ketika mangsa, Cheong Mun Sang, 46, sedang memandu kereta Toyota Innova, apabila dihimpit sebuah kereta Proton Exora berwarna putih yang dinaiki dua lelaki kurang 50 meter dari tempat kerjanya.

Lelaki yang berada di tempat duduk bahagian belakang kereta itu kemudiannya melepaskan tembakan ke arah mangsa.

"Mangsa terus memecut keretanya ke kilang untuk menyelamatkan diri," kata Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi.

Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke hospital oleh pekerja kilang tersebut di mana keadaannya stabil setelah menerima rawatan.

Melihat mangsa berjaya menyelamatkan diri, suspek segera beredar menggunakan kenderaan yang bernombor pendaftaran palsu itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain