Pengedar Promosi Pil Khayal Percuma Di Kalangan Pelajar - Semasa | mStar

Pengedar Promosi Pil Khayal Percuma Di Kalangan Pelajar

KUALA TERENGGANU: Peningkatan kes ketagihan pil khayal di kalangan pelajar sekolah di Terengganu dipercayai berpunca daripada taktik pengedarnya mempromosi dadah jenis itu secara percuma kepada mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, pengedar semakin licik mengumpan pelajar memberi pil khayal secara percuma terutama pil jenis WY, sebelum mereka ketagih.

"Penggunaannya sebanyak tiga kali akan menyebabkan pelajar menjadi ketagih dan sukar untuk dipulihkan, dan apabila pelajar ini ketagih, pil-pil berkenaan akan dijual kepada mereka," katanya di sini, hari ini.

Pil-pil berkenaan dijual mengikut harga semasa, antara RM30 hingga RM70 sebiji.

Roslan berkata, peningkatan pelajar sekolah di Terengganu yang terlibat dengan bahan terlarang itu agak membimbangkan kerana ujian air kencing yang dibuat secara rawak ke atas mereka, kebanyakannya adalah positif pengambilan dadah.

Penggunaan pelajar sebagai keldai dadah juga semakin membimbangkan, dengan tiga pelajar yang digunakan untuk mengedar dadah kepada rakan pelajar lain ditahan sejak awal tahun ini.

"Terbaru, seorang pelajar berumur 14 tahun ditahan bersama seorang lelaki di sebuah pejabat agensi pelancongan di Kampung Pak Tuyu Isnin lepas. Polis menemui 17 pil WY bersama mereka," katanya.

Selain itu, ada juga pengedar dadah yang menggunakan taktik baru mengelak dari pihak berkuasa dengan menyorok dadah dalam peralatan elektronik.

Roslan berkata, modus operandi terbaru itu terbongkar berikutan serbuan pihak polis ke atas sebuah rumah di Paka, Dungun yang mendapati dadah jenis syabu seberat 6.3 gram bernilai RM5,000 disorok di dalam bateri komputer riba.

Katanya, berdasarkan maklumat orang awam, pihak polis melakukan serbuan di rumah berkenaan pada 21 April lepas dan berjaya menahan seorang lelaki berumur 26 tahun.

Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah itu, disiasat disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak melebihi sembilan kali. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain