suria

MCA Cadang Jawatankuasa Siasatan Kes Tembak Budak Disertai Sebuah Badan Bebas

PUTRAJAYA: MCA hari ini mencadangkan sebuah badan bebas dimasukkan dalam jawatankuasa penyiasatan kes budak berusia 15 tahun yang mati ditembak polis di Shah Alam Isnin lalu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, adalah penting jawatankuasa tersebut turut menjemput sebuah badan bebas seperti wakil Suhakam atau mana-mana NGO menjadi sebahagian daripada anggota yang menyiasat kematian Aminul Rasyid Amzah.

“Kita perlu menyakinkan rakyat bahawa Kerajaan benar-benar komited dan telus dalam menjalankan siasatan ini termasuklah memastikan tindakan diambil ke atas sebarang kecuaian anggota ketika menjalankan tugas,” ujarnya kepada para pemberita di sini hari ini.

Aminul mati ditembak awal Isnin lalu apabila dia dikatakan cuba mengundurkan kereta yang dipandunya dalam keadaan yang sangat merbahaya ke arah anggota polis yang menahannya di Seksyen 11, Shah Alam.

Insiden tersebut berlaku pada jam 2 pagi selepas Aminul yang memandu kenderaannya itu tanpa pengetahuan keluarganya cuba melarikan diri selepas terlibat dalam beberapa kemalangan dan kemudian memecut melanggar lampu trafik sebelum pihak polis peronda mengejarnya.

Salah seorang daripada anggota polis berkenaan telah melepaskan empat das tembakan - salah satunya mengenai Aminul.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusoff telah ditugaskan menyelia siasatan dalaman ini bagi memastikan ketelusan.

Artikel Lain