suria

Mayat Dikerat 3 Bahagian Dibuang Di Kawasan Perindustrian Datuk Onn

JOHOR BARU: Mayat seorang lelaki telah ditemui dengan badannya dikerat tiga berdekatan dengan pelan memproses bahan buangan di Kawasan Perindustrian Dato Onn di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Utara, Penolong Komisioner Ruslan Hassan berkata, mayat itu telah ditemui oleh salah seorang pekerja di situ pada lebih kurang 11.15 pagi ini.

“Mayat itu ditemui dalam tiga buah bag plastik sampah,” ujarnya sambil menjelaskan mayat itu telah dikerat di bahagian kepala, atas badan dan bawah badan.

Ruslan juga berkata, siasatan awal mendapati, mayat itu asalnya dihumban di kawasan pembuangan sampah berhampiran sebuah pasar raya di Tampoi.

“Syarikat pengangkut sampah kemudiannya telah mengangkut sampah tersebut termasuklah bungkusan yang mengandungi tiga bahagian mayat tersebut ke kawasan pelan pelupusan sampah itu," kata Ruslan.

Sementara itu, seorang pekerja bernama Kumar, ketika ditemui berkata, dia sedang bekerja seperti biasa di pelan pelupusan sampah seperti biasa apabila terserempak dengan kepala manusia yang telah dipenggal apabila dia membuka sebuah bungkusan plastik sampah berwarna hitam.

Kumar berkata, dia terus menghubungi polis selepas itu.

Ruslan meminta agar sesiapa yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dengan segera menghubungi polis di talian hotline polis di nombor 07-2212999.

Artikel Lain