suria

Lebih 70,000 Warga Asing Di Pahang

KUANTAN: Seramai 70,301 warga asing memegang pas lawatan kerja sementara di Pahang ketika ini, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata, seramai 207 orang pula memegang pas pengajian dan pengeluaran pas lawatan sosial kepada suami atau isteri kepada warganegara pula melibatkan 679 orang.

"Mereka bekerja dalam pelbagai sektor antaranya perkilangan, perladangan, pembinaan, perkhidmatan dan pembantu rumah," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) berhubung populasi warga asing di Pahang.

Kebanyakan daripada mereka katanya adalah dari negara Indonesia, Kemboja, Thailand, Bangladesh dan Pakistan.

Adnan berkata, seramai 2,015 warga asing pula memohon kerakyatan dalam tempoh 10 tahun lepas.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat mengemukakan statistik berhubung jumlah pendatang tanpa izin yang berada di negeri itu kerana tidak mempunyai rekod mengenainya.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 291 lesen pusat hiburan dan judi dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 223 lesen yang dikeluarkan adalah untuk pusat karaoke, 13 lesen premis perjudian dan 13 lesen pusat snooker.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Hamid Syed Mohamed (Pas-Kuala Semantan) berhubung jumlah pusat hiburan dan judi berlesen yang diluluskan di Pahang.

Hoh berkata, ketika ini, tiada sebarang pusat hiburan dan judi haram yang beroperasi di negeri itu, namun terdapat pusat hiburan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan.

"Berikutan itu, PBT sudah mengambil tindakan ke atas premis yang menjalankan aktiviti dengan membatalkan lesen serta tindakan bersama dengan polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di premis terbabit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain