suria

Kerana Telefon Bimbit, Pemandu Teksi Dihukum Penjara 15 Tahun, 10 Sebatan

KUALA LUMPUR: Kerana merompak sebuah telefon bimbit yang tidak seberapa harganya dan mencederakan seorang jurujual dua tahun lepas, seorang pemandu teksi sambilan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap B. Balamurali, 30, yang juga seorang kelindan lori, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie manakala tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sebat sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata, setelah mendengar hujahan daripada peguam, beliau mengakui kes itu memiliki banyak faktor berat dan tindakan Balamurali telah menyusahkan banyak pihak.

"Awak telah merompak wanita muda dan awak telah mencederakan wanita itu yang terpaksa menerima banyak jahitan dan melakukan perkara itu di tempat yang sunyi sebelum awak melarikan diri semata-mata untuk satu habuan telefon bimbit yang hanya bernilai beberapa ringgit saja," katanya.

Zainal Abidin berkata, tindakan tertuduh bukan sahaja menyebabkan mangsa takut malahan turut memberi impak kepada orang ramai yang menggunakan teksi awam.

"Tindakan awak telah menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pemandu teksi yang jujur, mereka dah takut nak naik teksi, akibat perbuatan awak, pemandu teksi lain terjejas ibarat 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga," katanya.

Balamurali didakwa dengan niat merompak sebuah telefon bimbit milik Kong Yee Ling, 26, dan dalam rompakan itu, dia menggunakan sebilah pisau dan telah mencederakan wanita itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong Chan Chin Mooi di Jalan Pahang (berdekatan Sekolah Rendah Chung Hwa), pada 8.20 malam 4 Jan 2008.

Terdahulu, peguam S.Suresh yang mewakili Balamurali merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan memandangkan Balamurali perlu membantu dan menjaga bapanya manakala ibunya telah meninggal dunia.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt memohon hukuman berat dikenakan memandangkan kesalahan yang dilakukan oleh Baramurali adalah serius dan ia telah meninggalkan kesan trauma yang teruk kepada mangsa. - BERNAMA

Artikel Lain