suria

Kabinet Simpati Kejadian Remaja Mati Ditembak

PUTRAJAYA: Kabinet melahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak dalam satu kejadian melibatkan anggota polis di Shah Alam pada Isnin lepas dan mahu siasatan dibuat secara telus.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau telah membangkitkan kes itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kita juga minta kes itu tidak dipolitikkan kerana jika ia menjadi isu politik, maka sukar kes itu hendak diselesaikan," katanya kepada pemberita di majlis penyampaian cek bernilai RM3 juta kepada SJK (C) Rasa di sini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, diminta mengulas insiden kematian remaja berusia 15 tahun itu yang dilaporkan ditembak oleh polis ketika didakwa cuba mengundur kenderaan yang dipandunya ke arah anggota polis.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan penubuhan pasukan khas yang diketuai oleh Timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi menyiasat kejadian itu.

Noh berkata, beliau telah berbincang dengan Hishammuddin mengenai perkara tersebut dan diberikan jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat secara telus.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang turut hadir di majlis itu berkata, pasukan khas yang ditubuhkan itu turut perlu melibatkan wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Cara kerajaan mengendalikan kes tersebut juga penting untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan benar-benar melakukan siasatan. Kerajaan juga perlu memastikan sesiapa yang melakukan kesalahan atau kesilapan perlu berdepan dengan tindakan sewajarnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain