suria

Ibu Meraung Sebaik Anak Dijatuhi Hukuman Mati

SEREMBAN: Seorang ibu berusia 60 tahun tidak dapat menahan sebak dan terus meraung di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini sebaik sahaja hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua anak lelakinya kerana kesalahan membunuh.

Ahli keluarga yang lain terpaksa mententeramkan wanita itu sebelum dibawa keluar, manakala kedua-dua anaknya, B. Ramesh, 30, dan adiknya, Suthar, 28, yang berdiri di kandang tertuduh hanya diam membatukan diri.

Mereka didapati bersalah membunuh mekanik, R. Krishnan, 31, antara 9.50 malam hingga 12.45 tengah malam di KM 19 Jalan Labu ke Port Dickson, Mambau, 4 Februari 2006.

Seorang lagi lelaki yang membantu mereka dalam kejadian itu masih lagi bebas.

Ramesh dan Suthar dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama di bawah Seksyen 304 kanun yang sama.

Hakim Datuk Ahmad Nafsy Yasin dalam penghakimannya berkata, kedua-dua adik- beradik itu gagal membela diri mereka dan gagal memberi kerjasama dengan polis pada peringkat awal malahan mewujudkan dua watak lelaki lain iaitu "Joe dan Raja" yang didakwa telah menyerang mereka dan mangsa.

"Mereka berdua turut menyalahkan isteri mangsa, yang didakwa menjadi dalang pembunuhan itu selepas hubungan sulitnya dengan tertuduh pertama iaitu Ramesh diketahui mendiang Krishnan," kata hakim.

Sedangkan katanya, darah mereka terdapat pada senjata yang ditemui iaitu sebuah penukul dan pisau yang ditemui pada kereta mangsa.

Keadaan kereta mangsa juga berselerak dan penuh dengan kesan darah menunjukkan tanda pergelutan, mangsa mati akibat kesan hentakan dengan benda keras sebanyak 23 kali termasuk lehernya dikelar. - BERNAMA

Artikel Lain