suria

Bekalan Air 10 Kampung Di Baling Tercemar

BALING: Lebih 500 keluarga di 10 buah kampung sekitar pekan Weng di sini, menghadapi masalah berikutan bekalan air tercemar sejak empat bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Weng Luar, Khalil Che Muda mendakwa, bekalan air ke kampung berkenaan tercemar akibat kerja-kerja membuat jalan bagi mengeluarkan balak di kawasan berkenaan.

"Bila hujan turun, semua bekalan air yang berpunca dari bukit berdekatan menjadi merah pekat dan berlumpur," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Katanya, tekanan bekalan air Jabatan Bekalan Air (JBA) juga rendah dan bekalan air masyarakat yang berpunca dari kawasan hutan Rimba Teloi berdekatan kampung Carok Semeliang turut tercemar.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Perhutanan daerah supaya mengawasi kerja-kerja membuat jalan di kawasan pembalakan di Rimba Teloi itu, bagi memastikan tanah yang ditolak tidak masuk ke kawasan takungan air.

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Lubuk Badak, Mohd Alias Ismail, 47, berkata, beliau terpaksa menakung air yang bercampur lumpur antara tiga hari hingga seminggu sebelum dapat digunakan untuk keperluan harian seperti memasak dan membasuh.

"Untuk minum pula, kadang-kadang terpaksa beli air botol di kedai," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain