suria

Suami Isteri Rugi RM50,000 Disamun Lima Lelaki

KUANTAN: Sepasang suami isteri kerugian RM50,000 apabila disamun lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang serta pisau di rumah mereka di Indera Mahkota 5 di sini pada pukul 3.30 pagi tadi.

Lelaki berusia 60-an itu dan isterinya yang berusia 50-an turut diugut dan dipukul kelima-lima lelaki berkenaan serta diarahkan supaya menyerahkan wang tunai dan barangan berharga kepada mereka.

"Salah seorang suspek mengetuk kepala saya dengan satu objek keras dan mengugut saya dan isteri supaya tidak membuat bising dan menurut semua arahan mereka," kata lelaki yang enggan dikenali itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Selain mata pasangan suami isteri itu ditutup dengan kain, tangan dan kaki mereka turut diikat dengan dawai langsir.

"Saya percaya kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu adalah warga Indonesia berdasarkan dialek pertuturan mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama isterinya sedang lena tidur dan kebetulan anak-anak mereka berada di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, suspek memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang diumpil dan dipotong mangganya sebelum bertindak memecahkan pintu bilik tidur mangsa dengan menggunakan tong gas.

Katanya, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kehilangan barang kemas, beberapa jam tangan berjenama, telefon bimbit dan wang tunai hampir RM4,000 disamun suspek.

"Kesemua kerugian dianggarkan bernilai hampir RM50,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan bersenjata dan pihak polis sedang giat memburu kesemua suspek," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain