suria

SACC Dilihat Sebagai Pemangkin Jadikan Selangor Destinasi Pelancongan Utama

SHAH ALAM: Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), yang pembukaannya dirasmikan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini dilihat sebagai pemangkin bagi menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama.

Pusat konvensyen bernilai RM66 juta di Jalan Perbadanan, Seksyen 14 itu yang dikeliling oleh gedung membeli belah, restoran dan hotel terkemuka antarabangsa menawarkan pelbagai saiz bilik yang sesuai bagi mesyuarat dan seminar.

Grand Shah Alam Ballroom mampu menampung sehingga 3,000 tetamu dan boleh dipisahkan menjadi dua dewan tari menari bergantung kepada keperluan mereka.

"Dengan mengumpulkan komuniti perniagaan, akademik dan awam dalam pameran perdagangan, ekspo dan persidangan di SACC, kesan limpahannya dijangka membawa kelebihan besar kepada Selangor secara umum dan Shah Alam secara khususnya, dalam mengekalkan jenama bernilai kami sebagai bandar raya paling mampan di Malaysia," kata Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Negeri Selangor (SDC), Othman Omar.

SACC merupakan hartanah Selangor SDC. Pembinaannya bermula pada 2006 dan selesai pada Jun 2009.

Othman berkata sejak SACC membuka pintunya bagi perniagaan pada Ogos tahun lepas, ia berjaya menarik banyak acara bereputasi tinggi. Setakat ini 70 acara telah berjaya diadakan di venue tersebut, katanya.

Turut hadir di majlis perasmian hari ini ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bersempena dengan pembukaan rasmi SACC itu, senarai acara-acara menarik seperti Pameran Hartanah Selangor dan Festival Kesenian Islam Antarabangsa dirangkakan bagi tahun ini.

Malam ini ia akan menampilkan persembahan dua penyanyi popular Asia, Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti. - BERNAMA

Artikel Lain