suria

PM Finland Lawat Malaysia Dua Hari Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Finland, Matti Vanhanen akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai esok bagi meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan itu dijangka menyediakan peluang untuk menggiatkan semula hubungan dua hala dan memudahkan perluasan kerjasama dalam bidang baru seperti inovasi, maklumat dan teknologi komunikasi serta teknologi hijau.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga menjadi hos pada jamuan makan malam, menurut kenyataan Wisma Putra.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan cara-cara untuk memperbaiki hubungan dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu rantau dan antarabangsa.

Vanhanen akan juga menemui Majlis Penasihat Ekonomi Nasional dan mengadakan perbincangan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) Malaysia yang dilancarkan Najib pada bulan lepas.

Dagangan dua hala pada tahun lepas berjumlah RM614.9 juta iaitu eskport Malaysia ke Finland sebanyak RM446.3 juta dan import pula ialah RM168.6 juta. - BERNAMA

Artikel Lain