suria

Penguatkuasa Rampas 412 Unit Telefon Bimbit Bernilai RM179,000

KUALA TERENGGANU: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (BPKPDNKK) negeri Terengganu merampas 412 unit telefon bimbit pelbagai jenis bernilai kira-kira RM179,000 dalam satu operasi di sini malam tadi.

Timbalan Pengarah BPKPDNKK negeri Terenganu, Ghani Harun berkata, rampasan dibuat dalam satu operasi melibatkan 20 anggota penguatkuasa di tapak ekspo Dataran Shah Bandar di sini selama tiga jam bermula 8 malam.

"Kita terima maklumat daripada orang awam yang menyatakan telefon bimbit yang dibeli di situ tidak boleh digunakan kerana rosak.

"Pengguna telah membuat aduan kepada pihak penjual, namun tidak diendahkan lalu mereka membuat aduan kepada bahagian penguatkuasa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ghani berkata, pihaknya menyerbu tiga buah kanopi di tapak ekspo dan mengambil pengenalan diri 14 jurujual yang terbabit dengan kes berkenaan.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga 1946 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda sehingga RM15,000 manakala di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 boleh dikenakan denda orang perseorangan sehingga RM100,000 sementara syarikat RM250,000. - BERNAMA

Artikel Lain