suria

Penggera Selamatkan Kedai Emas Daripada Dirompak

KUALA LUMPUR: Cubaan enam lelaki merompak sebuah kedai emas di Taman Kinrara, Jalan Klang Lama di sini hari ini gagal apabila seorang pekerja kedai itu menekan alat penggera keselamatan menyebabkan keenam-enam mereka lari lintang pukang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, enam lelaki yang memakai topi keledar dipercayai menghampiri kedai terbabit sebelum berpecah kepada dua kumpulan dengan tiga di dalam kedai manakala tiga lagi di luar kedai.

"Tiga lelaki itu yang bersenjatakan kapak dan tukul terus meluru ke dalam kedai dan menghentak cermin tempat pameran yang mengandungi pelbagai jenis barang kemas, namun ia tidak pecah.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu merakamkan perbuatan tiga lelaki di luar yang bertindak sebagai 'pengawal' dengan ada memegang pistol dan ada juga yang membawa tangga kecil bagi menghalang pintu kedai itu tertutup jika alat penggera dibunyikan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat empat pekerja dan dua pelanggan di dalam kedai manakala kedai itu pula tidak mempunyai pengawal keselamatan.

Khaw berkata, setelah beberapa kali cubaan untuk memecahkan cermin itu gagal, seorang daripada pekerja kedai menekan alat penggera keselamatan yang menyebabkan pintu kedai itu turun secara automatik.

"Pintu itu cuba dihalang oleh tangga kecil yang diletakkan seorang daripada suspek namun apabila cubaaan itu tidak berjaya keenam-enam mereka lari lintang pukang menaiki motosikal yang diletakkan di luar kedai," katanya.

Khaw berkata, polis yang tiba di tempat kejadian mendapati tangga itu masih ada dan pasukan Forensik sedang mengesan cap jari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kedai emas itu telah disamun lebih 13 kali sejak ia beroperasi pada tahun 1990 dengan kes terakhir ialah Disember tahun lepas dan cubaan itu juga gagal.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang sama dalam lingkungan umur 25 hingga 35 tahun terbabit dalam cubaan samun kali ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain