suria

Peguam Negara Pencelah Dalam Prosiding Hina Mahkamah Terhadap Nazri Dalam Inkues Teoh

SHAH ALAM: Peguam Negara Tan Sri Gani Patail telah mengemukakan permohonan untuk menjadi pencelah dalam prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dalam inkues Teoh Beng Hock.

Koroner Azmil Muntapha Abas akan mendengar permohonan itu esok.

Beliau juga menetapkan 20 Mei untuk mendengar pandangan pakar patalogi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunan, yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor.

Beliau dijadual memberikan keputusannya tengah hari ini mengenai sama ada Nazri patut dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mendakwa Dr Pornthip seorang "penipu" selepas pakar patologi itu berkata beliau menghadapi tekanan politik supaya tidak memberikan keterangan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh hadir secara mengejut di mahkamah dan berkata beliau baru sahaja memfailkan permohonan bagi pihak Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk menjadi pencelah dalam perkara itu dan permohonan itu perlu didengar terlebih dahulu.

Karpal Singh, yang mewakili abang Teoh, Meng Kee, membantah keras dan menggesa mahkamah meneruskan inkues itu dan tidak melayani permohonan di saat-saat akhir.

"Kenapa AG (Peguam Negara) tiba-tiba mahu menjadi pencelah dalam prosiding ini kerana permohonan (menghina mahkamah) itu dibuat dua minggu lepas dan beliau mencelah bagi kepentingan siapa dalam perkara ini?" katanya.

Pada 16 April, Meng Kee memfailkan permohonan ex-parte untuk Nazri diambil tindakan menghina mahkamah.

Karpal Singh meminta koroner memerintahkan Amarjeet Singh menyerahkan salinan permohonan Peguam Negara kepadanya hari ini bagi mengetahui butiran permohonan itu.

Beliau juga mahu memeriksa balas Gani jika beliau hadir di mahkamah. - BERNAMA

Artikel Lain