suria

Pegawai Khidmat Pelanggan Bebas Tuduhan Edar Dadah

PULAU PINANG: Seorang pegawai perkhidmatan pelanggan dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Yaacob Md Sam membebaskan dan melepaskan Lee Beng Seng, 39, tanpa dipanggil membela diri terhadap tiga pertuduhan mengedar 570.699gm ketamin, campuran 26.04gm heroin dan 44.55gm monoacetylmorfin dan 472.44gm metamphetamine di 25-1-3, Lebuhraya Scott pada 8.15 malam, 2 Feb 2007.

Yaacob berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan Lee adalah satu-satunya penghuni rumah itu atau dia pemilik dadah itu. Beliau berkata keterangan yang diberikan saksi-saksi juga bercanggah.

Katanya, pegawai yang melakukan serbuan memberikan keterangan terdapat empat anak kunci dirampas dan apabila pegawai penyiasat pergi ke tempat kejadian, beliau mendapati pintu dikunci dengan mangga tetapi menurut pegawai penyiasat beliau menerima enam anak kunci dan menggunakan anak kunci berkenaan untuk membuka mangga itu.

Kesalahan mengedar dadah boleh dihukum mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Lee diwakili peguam A. Ashok manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar. - BERNAMA

Artikel Lain