suria

Operator Kilang Didakwa Rompak Beg Tangan Wanita Mati Lemas

SHAH ALAM: Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak beg tangan seorang wanita yang mati lemas selepas kereta yang dinaikinya terhumban dalam parit besar, minggu lepas.

Muhamad Marnizam Muhammad, 22, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh didakwa merompak beg tangan milik P.Kanagapusanam, 34, yang mengandungi barangan peribadi bernilai RM250.

Muhamad Marnizam yang berasal dari Terengganu didakwa melakukan kesalahan itu di Simpang Tiga, Jalan Permai, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 9.45 pagi pada 19 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. Wan Mohd Norisham menetapkan 5 Mei ini untuk memutuskan isu jaminan ke atas tertuduh sementara menunggu beberapa laporan berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan sementara Muhamad Marnizam tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kanagapusanam dan ibunya M. Kamalam, 56, mati lemas apabila kereta jenis Wira yang mereka naiki terhumban ke dalam parit besar sedalam tiga meter yang dipenuhi air selepas dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha.

Penunggang motosikal yang terbabit dilaporkan cedera parah. - BERNAMA

Artikel Lain