suria

Kilang Wangian Gel Terbakar, Kerugian RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Sebuah kilang membuat wangian gel di Pusat Perindustrian Rawang Integrated dekat sini kerugian kira-kira RM1 juta setelah kilang itu musnah dalam satu kebakaran hari ini.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu walaupun terdapat kira-kira 30 pekerja berada dalam premis sewaktu kejadian.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Othman Husain berkata, pekerja kilang tersebut bertempiaran keluaran untuk menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi letupan.

"Ketika anggota tiba di tempat kejadian api sedang marak dan ada bunyi letupan. Kami percaya bunyi letupan itu berpunca daripada barangan kimia yang terdapat dalam kilang tersebut," katanya ketika dihubungi.

Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran kira-kira 11.20 pagi sebelum 45 anggota bomba dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Selayang, Batu Arang dan Sungai Buloh selain Bomba Sukarela tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Katanya, api berjaya dikawal pada pukul 12.10 tengah hari.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain