suria

Kamalanathan Yakin Capai Tahap KPI

P. Kamalanathan mula turun padang menemui penduduk di kawasannya. - Foto THE STAR Oleh M. AZHAR ARIF
P. Kamalanathan mula turun padang menemui penduduk di kawasannya. - Foto THE STAR Oleh M. AZHAR ARIF
P. Kamalanathan mula turun padang menemui penduduk di kawasannya. - Foto THE STAR Oleh M. AZHAR ARIF

BERMULA semalam, kurang 12 jam selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor yang baru, P. Kamalanathan mula turun padang menemui penduduk di kawasannya.

Belumpun sempat menghilangkan penat lelahnya setelah penat berkempen, Ketua Penerangan MIC itu tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk beliau 'berehat' daripada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Bagi muka baru baru seperti Kamalanathan, kerja kerasnya sebelum pilihan raya kecil itu untuk memenangi hati rakyat tidak hanya terhenti dengan kemenangan pada Ahad lalu.

Sebaliknya ia dilihat sebagai satu permulaan yang lebih besar ekoran kedudukannya yang tidaklah begitu selesa kerana dalam tempoh dua tahun lagi, negara sekali lagi akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13.

Tumpuan penduduk setempat kini akan terarah kepadanya sebagai satu penilaian berterusan sama ada beliau benar-benar dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin ataupun sebaliknya.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu, Barisan Nasional (BN) melalui ayam tambatannya, Kamalanathan berjaya merampas kembali kerusi berkenaan dengan majoriti 1,725.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi menewaskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperoleh 23,272 undi

Bagi anak kelahiran Rawang itu, beliau sendiri menyedari bahawa tidak mempunyai banyak masa untuk berlengah melainkan dengan menggunakan kesempatan yang ada bagi membantu dan menyelesaikan masalah rakyat.

Sebagai salah seorang wakil rakyat BN, beliau sendiri pastinya terikat dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dipatuhi.

Jadi, dalam dalam tempoh kira-kira dua tahun sebelum PRU-13, beliau perlu memastikan KPInya mencapai standard yang ditetapkan bagi memastikan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen kawasan itu tidak tergugat.

Harus diingat, KPI Kamalanathan bukan sahaja dinilai oleh pucuk pimpinan tertinggi BN, malah rakyat juga akan sentiasa membuat ukuran yang sewajarnya sama ada beliau benar-benar layak menjadi seorang wakil rakyat yang prihatin.

Bagaimanapun menurut Kamalanathan, beliau optimis tempoh dua tahun menjelang PRU-13 cukup baginya untuk memenuhi indikator yang ditetapkan.

"Pastinya mulai sekarang saya tak akan duduk senang, masa yang ada akan saya gunakan untuk mengenal pasti masalah rakyat dan cuba menyelesaikannya.

"Saya akan berusaha sedaya upaya untuk kotakan segala janji-janji yang kita lakukan, jika semuanya berjalan lancar, ini akan menjadi indikator yang baik kepada saya dan ia akan mencerminkan imej kerajaan BN yang prihatin terhadap masalah rakyat," katanya kepada mStar Online.

Bukan itu sahaja, satu lagi tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh Kamalanathan ialah bagi mengenal pasti punca kenapa pengundi Cina enggan memberi sokongan kepada BN.

Walaupun BN menang, pada hakikatnya kebanyakan pengundi Cina tidak menyokong BN - sama seperti PRU 2008.

"Saya memandang serius perkara ini, saya akan duduk berbincang dengan kepimpinan MCA dan gerakan bagi menganalisa puncanya.

"Walaupun dapat dilihat berlakunya penolakan daripada pengundi Cina, tapi ia bukanlah secara keseluruhan, masih ada pengundi Cina yang masih setia dengan perjuangan BN," katanya.

Nampaknya Kamalanathan akan menempuhi fasa yang begitu penting dalam karier politiknya sebagai seorang wakil rakyat.

Ia menjadi lebih sukar kerana tanggungjawabnya bukan hanya terhadap penduduk dalam kawasannya malah ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi membantu BN merampas kembali Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang pada PRU yang lalu.

Artikel Lain