suria

Jabatan Penjara Kemuka Cadangan Atasi Kesesakan

KAJANG: Jabatan Penjara Malaysia telah mengemukakan satu cadangan baru untuk menempatkan banduan yang terpilih tinggal di luar penjara dan bekerja di pelbagai sektor termasuk perkilangan dan perladangan sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan di 30 buah penjara seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan tersebut merupakan langkah terbaru selepas melihat keberkesanan sistem parol dan khidmat komuniti bagi mengatasi masalah yang sama.

"Kita sedang mengkaji cadangan terbaru ini bagi membolehkan banduan tinggal di luar dan bekerja serta bergaul dan memberikan khidmat kepada masyarakat. Ia akan diumumkan setelah semua pihak berpuas hati dengan keberkesanannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Lembaga Hakim Pelawat Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.

Sebagai permulaan untuk melihat penerimaan masyarakat, beliau berkata kira-kira-kira 200 banduan terpilih telah dihantar ke Felda Sungai Tengi Selatan, dekat sini minggu lepas bagi menjalankan program khidmat bakti untuk membaiki rumah penduduk yang daif dan bermasalah.

"Saya berpuas hati dengan maklum balas yang diterima masyarakat di mana tiada kebimbangan dan masalah kerana masyarakat menerima kehadiran mereka," katanya.

Hishammuddin berkata, program terbaru yang belum diberi nama itu juga dilihat menjadi pendekatan yang terbaik untuk memberi peluang kepada banduan bagi mengisi peluang pekerjaan yang selama ini dipenuhi pekerja asing.

"Banyak sektor terutama perkilangan dan perladangan yang dimonopoli oleh pekerja asing. Mungkin dengan cara ini banduan yang terpilih boleh diberi peluang untuk berdikari dengan diberikan pekerjaan sebagai persediaan untuk kembali kepada masayarakat.

"Pemilihan banduan juga perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan antaranya tempoh tahanan dan disiplin yang ditunjukkan sepanjang dalam penjara, agar mereka tidak akan mendatangkan masalah apabila berada di luar," katanya.

Mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Hishammuddin berkata Jabatan Penjara turut terlibat terutama memastikan keberkesanan dalam aspek pemulihan dan hukuman ke atas mereka yang bersalah terutama dalam kes ragut dan jenayah jalanan.

Beliau berkata, jika sebelum ini tumpuan NKRA diberikan kepada tindakan yang dilakukan oleh polis, kini pihaknya akan menambah baik jabatan lain seperti Jabatan Penjara, Peguam Negara dan Kehakiman.

Katanya, pihak kementerian telah menemui satu kaedah baru yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini bagi memastikan mereka yang pernah melakukan kesalahan terutama yang berkaitan kes dadah dan ragut agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain