suria

Segera Daftar Paten, Harta Intelek Untuk Elak Ditiru - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan pencipta paten atau harta intelek agar segera mendaftarkan ciptaan kreativiti mereka ketika ia masih lagi di peringkat perancangan dan bukan menunggu untuk melakukannya ketika di peringkat akhir.

Beliau berkata paten atau harta intelek perlu didaftarkan segera supaya kreativiti yang dihasilkan tidak mudah ditiru pihak lain.

"Kalau buat begitu (daftar) tidak akan ada mana-mana pihak yang boleh mengambil apa-apa bentuk kreativiti yang ada nilai harta intelek daripada pakar tempatan," katanya ketika ditanya mengenai langkah yang perlu diambil untuk memastikan paten atau harga intelek hasil ciptaan anak tempatan tidak ditiru pakar luar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah Harta Intelek Negara 2010 di sini Isnin, Muhyiddin turut mengingatkan pencipta tempatan supaya memastikan pendaftaran paten atau harta intelek yang dibuat turut meliputi perlindungan di luar negara.

"Sebab itu mereka perlu mendaftar melalui MyIPO (Intellectual Property Corporation of Malaysia) yang mana pendaftaran meliputi seluruh dunia...kalau tidak, pihak lain mungkin mengambil kesempatan daripada penemuan yang dilakukan di Malaysia," katanya.

Terdahulu di dalam ucapannya, Muhyiddin menekankan pentingnya rakyat negara ini, terutamanya pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan pengetahuan selain mengeksploitasi sepenuhnya potensi sistem harta intelek bagi memastikan mereka lebih berdaya saing, berinovasi dan berupaya meningkatkan akses pasaran.

"Majoriti PKS didapati lebih menumpukan kepada pengurusan aset ketara seperti kewangan dan infrasktuktur dan mengabaikan aset tidak ketara seperti modal insan dan pengetahuan berkaitan adea, jenama, reka bentuk dan lain-lain hasil kreativiti dan inovatif," katanya.

Tambahnya kekurangan pengetahuan tentang harta intelek produk mereka dan persepsi bahawa proses perlindungan harta intelek adalah rumit, memakan masa dan melibatkan kos yang tinggi perlu diperbaiki.

Jika persepsi itu diteruskan, kesannya PKS bukan sahaja gagal memanfaatkan nilai komersil harta intelek mereka, tetapi turut terdedah kepada risiko pelanggaran harta intelek milik pihak lain yang membawa kepada implikasi perundangan dan penalti kewangan yang serius, katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, bilangan permohonan harta intelek yang difailkan dan didaftarkan di MyIPO telah mencatatkan pertambahan di mana jumlah permohonan paten meningkat 13 peratus, iaitu daripada 5,062 pada 2003 kepada 5,737 pada 2009.

Sementara jumlah paten yang didaftarkan meningkatkan 119 peratus iaitu daripada 1,578 pada 2003 kepada 3,468 pada 2009, katanya.

"Dalam tempoh sama, bilangan paten yang difailkan oleh rakyat Malaysia meningkat lebih 20 peratus. Nisbah bilangan permohonan paten oleh rakyat Malaysia berbanding warga asing meningkat daripada tujuh peratus pada 2003 kepada 22 peratus pada 2009," katanya.

Muhyiddin berkata bilangan permohonan cap dagangan turut meningkat 35.38 peratus daripada 17,776 pada 2003 kepada 24,070 pada 2009, manakala jumlah cap dagangan yang didaftarkan meningkat 2.5 peratus, iaitu daripada 12,122 pada 2003 keapda 14,972 pada 2009.

Dalam tempoh sama, permohonan cap dagangan oleh rakyat Malaysia meningkat 53.84 peratus, iaitu daripada 8,327 kepada 12,810. Purata 48.43 peratus permohonan cap dagangan yang difailkan setiap tahun adalah oleh rakyat Malaysia, katanya.

Selain itu, bagi melonjakkan agenda inovasi negara, kerajaan mensasarkan tempoh pemprosesan paten dikurangkan kepada 32 bulan pada 2012 berbanding 43 bulan sekarang.

Bagi memastikan peruntukan perundangan sentiasa terkini dan setanding dengan perlindungan harta intelek di negara-negara lain pula, Muhyiddin berkata kerajaan akan membentangkan pindaan bagi Akta Hakcipta 1987 dan Akta Rekabentuk Perindustrian 1996 di Dewan Rakyat pada Jun ini.

Sementara itu, pindaan ke atas Akta Paten 1983 dan Akta Cap Dagangan 1976 dijadual dibentang pada sesi November 2010, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain