suria

Polis Tahan Dua Beradik Disyaki Terbabit Curi Kenderaan

ALOR SETAR: Polis menahan dua beradik lelaki berumur 23 dan 25 tahun yang dipercayai melarikan dua kereta, di sebuah rumah di Bukit Pinang dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata semasa polis membuat pemeriksaan di rumah itu pada kira-kira pukul 2.30 petang, dua beradik itu didapati sedang menanggalkan pelbagai peralatan sebuah kereta Nissan Sentra.

"Selepas diperiksa polis turut menjumpai sebuah lagi kereta jenis Toyota Corolla di rumah itu," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kereta Nissan Sentra itu dilaporkan dicuri pada 24 April lepas di Jalan Sultanah dekat sini manakala kereta Toyota Corolla itu pula dilaporkan hilang pada 6 April lepas di Kerpan, Ayer Hitam dekat Kubang Pasu.

"Polis mendapati, nombor pendaftaran kereta Toyata itu tidak sama dengan nombor pendaftaran asal," katanya.

Abdul Ghafar berkata polis masih berusaha memburu dua lagi suspek yang didapati terus melarikan diri semasa serbuan dibuat.

"Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lama iaitu berkaitan kes curi dan pecah rumah serta satu kes tangkapan di Kubang Pasu," katanya.

Menurutnya suspek yang berumur 23 tahun itu baru tiga hari keluar dari penjara atas kesalahan mencuri.

"Kedua-dua lelaki itu direman mulai hari ini dan akan disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan. Polis percaya suspek ini terlibat dengan beberapa kes curi di sekitar daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan juga daerah-daerah berdekatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain